manaalmahdi


NOTIS PENAMATAN

NOTIS PENAMATAN LAMAN WEB LAYARBAHTERA

 
 
Pihak layarbahtera telah menerima ugutan dan bermacam-macam tohmahan termasuk fitnah dari mereka yang memegang jawatan tertentu dalam agama untuk masyarakat di Malaysia. Ingin kami jelaskan di sini sekali lagi bahawa kami tidak ada kena-mengena dengan para tokoh politik, parti-parti di Malaysia atau sesiapa sahaja. Kami juga menyangkal fitnah yang dengan mudah dilemparkan oleh mereka yang takbur dalam hidup di dunia, tanpa mengambil-kira buruk dan baik akibatnya, semata-mata demi kepentingan jawatan dan sanjungan individu tertentu. Sayang, jawatan yang disandang sekadar menambah dosa dengan menabur fitnah yang mereka sendiri tidak tahu dan sekadar menduga-duga. Namun, kami tidak akan mengambil sebarang reaksi. Ini kerana kami tidak ada kaitan dengan keuntungan apa-apa cukup sekadar kita manusia mendapat peringatan-peringatan kiamat untuk renungan bersama.
 
 
Sememangnya sikap bongkak sesetengah penjawat amat mendukacitakan kami, iaitu sikap memberikan rumusan yang mereka sendiri tidak tahu, malah sekadar mencari nama pada masyarakat, yang lazimnya keadaan ini akan membuatkan golongan yang tumpul ilmu terpengaruh dan bersama-sama membuat tohmahan-tohmahan yang mereka sendiri tidak tahu. Sayangnya, tanpa disedari, mereka sekadar mengikut ketua-ketua atau pemerintah-pemerintah yang mementingkan diri sendiri untuk mencapai matlamat tertentu dan tidak lebih dari itu, yang sekadar menyamakan sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu; bagi yang mudah difahami serta dilaksanakan dianggap sebagai kebenaran pada mereka, sebaliknya sesuatu yang tidak terjangkau oleh ilmu mahupun pembelajaran mereka selama ini serta sukar dilaksanakan, mereka tolak.
 
 
Inilah yang berlaku pada hari ini. Manusia mengambil jalan yang mudah, antaranya merasakan setiap perbuatannya adalah benar dan lebih selesa mengambil jalan yang mudah dilaksanakan. Bagi jalan yang sukar, pelbagai kritikan atau tohmahan dilemparkan. Akibat tidak memahami sesuatu maksud dan tidak ada keyakinan pada diri serta sekadar mendengar nasihat yang kurang sihat dari orang lain, akhirnya kita mengikut telunjuk orang lain yang kita tidak tahu kesudahannya, sementara orang lain pula mengikut telunjuk kita, dengan fitnah dan pelbagai, akhirnya lupa pada dunia ini yang sebenarnya sementara.
 
 
Beginilah fitnah yang dilemparkan kepada LayarBahtera. Pihak kami sekadar memberi peringatan kiamat dan tiada tujuan untuk merubah segala amalan yang dilakukan. Bagi yang berpuasa, teruskan puasa anda, bagi yang bersolat atau sembahyang, teruskan solat anda, bagi yang berilmu teruskan ilmu yang anda ikuti. Kami tidak memujuk atau memaksa mahupun menghasut sesiapa. Telah jelas kami terangkan bahawa kami sekadar memberi peringatan yang benar untuk mereka yang ingin mendengarnya mahupun yang ingin mengambil pengajaran serta manfaat di sebalik peringatan tersebut.
 
 
Sesungguhnya, tohmahan dari mereka yang terlibat antaranya dari sidang akhbar baru-baru ini adalah tidak benar. Pihak berkenaan melontarkan fitnah yang sangat merugikan diri mereka sendiri berlandaskan jawatan yang disandang. Perlu kami tekankan di sini bahawa kami tidak ada mengajar dari rumah ke rumah, kami tidak ada kod rahsia yang perlu dirahsiakan, kami tiada ikutan yang ramai seperti yang dihebohkan dan kami tiada dalang baik dari dalam negeri atau luar negara.
 
 
Namun, masih ada masa untuk kita perbaiki diri kita dengan kejujuran yang sebenarnya, demi agama yang rasul sebarkan untuk kita ikuti memandangkan rasul ada menyarankan bahawa kiamat akan pasti berlaku dan hendaklah kita beriman dengan hari kiamat itu. Dalam sedar atau tidak, dengan tohmahan itu sebenarnya kita menolak kiamat, kita melebihi ketetapan ilahi dan tidak membenarkan kata-kata rasul tentang hari kiamat serta menolak ketetapan yang telah tercatat dalam kitab-kitab. Turut menjadi satu kesedihan, kita mempengaruhi dan mempedaya mereka-mereka yang kurang faham dengan agama berpandukan pangkat yang disandang.
 
 
Fitnah, fitnah, fitnah, apa yang kita dapat? Benarkah kita percaya pada rasul atau benarkah kita beriman pada al-Quran? Percayakah kita pada hari kemusnahan iaitu hari kiamat? Adakah kiamat itu fitnah atau manusia ingin menfitnah kebenaran alam dan kitab al-Quran? Renung-renung, fikir-fikir. Bagi yang berminat melontarkan fitnah yang ia sendiri tidak tahu setiap maksudnya, teruskanlah, namun, apa-apa yang berlaku di kemudian hari, pihak kami tidak memberi sebarang jaminan. Untuk mereka dan untuk semua, berimanlah dengan kitab-kitab dan hari kiamat. Ini adalah kebenaran yang kita semua sudah sedia maklum dan ini bukan penerangan ajaran songsang mahupun sesat atau khurafat. Ini adalah peringatan kiamat yang mudah difahami dalam bahasa yang kita tahu setiap maksudnya.
 
 
Pihak layarbahtera akan menutup laman manatuhanallah dan laman-laman yang berkaitan dengan layarbahtera pada hari Jumaat, 4 DISEMBER 2009.
Ini bermaksud kami tidak lagi mengeluarkan apa-apa kefahaman, kebaikan atau keburukan, kebenaran atau sebaliknya. Bersesuaian dengan arahan Nakhoda LayarBahtera, bererti tamat sudah peringatan hari kiamat dari laman web LayarBahtera. Kami tidak menjanjikan apa-apa pada mereka baik yang berilmu atau tidak, baik yang menentang atau sealiran. Tamat sudah peringatan kiamat.
 
 
Kami dari krulayar mengucapkan salam sejahtera untuk yang hidup, baik memahami atau tidak pada peringatan yang diberikan dari LayarBahtera. Peringatan berkenaan adalah peringatan hari akhirat untuk semua agama dan semua ikutan, kelak nanti kamu akan menemui ikutan kamu masing-masing. Benar atau sebaliknya, kamu akan tahu dan tiada penafian kelak apabila tiba di sana, di tempat yang dijanjikan oleh para rasul dan tercatat dalam kitab-kitab yang kita ikuti sebagai panduan hidup di dunia.
 
 
Kami dari krulayar telah cuba menerangkan apa yang kami faham dari Nakhoda LayarBahtera dan Nakhoda LayarBahtera telahpun menyampaikan apa yang perlu untuk akhir zaman dan sedikit cerita-cerita orang-orang dahulu untuk tatapan bersama. Terpulang pada diri kita masing-masing, ingin menyangkal segala-galanya atau menfitnah walau sebaris ayat sekalipun. Fikirlah sejenak mengikut keimanan dan kepercayaan, usah termakan hasutan mereka yang sekadar menduga-duga dan menabur fitnah.
 
 
Dengan ini, pihak LayarBahtera akan menamatkan peringatan hari kiamat di internet dan tamat sudah peringatan berkenaan. Kami tidak memberi jaminan apa-apa, bagi muda-mudi atau orang-orang lama, bagi guru-guru atau sesiapa sahaja termasuklah pihak kerajaan. Yang dijanji tetap terjadi, yang terjadi menjadi bukti, yang terbukti menyayat hati. Nilailah diri, jadilah insan yang dituntut oleh rasul dalam agamanya. Janganlah kita merugikan diri sendiri di dunia yang sementara dengan pinjaman nama yang pelbagai, berpandukan usia yang semakin tua.
 
 
Penamatan laman web LayarBahtera akan dilakukan pada:
 
 
MASA : 12.00 MALAM
 
 
TARIKH : 4 DISEMBER 2009
 
 
HARI : JUMAAT
 
 
Sebarang pertanyaan, boleh diajukan di ruangan soal-jawab di laman web krulayar di alamat:
 
krulayar.wordpress.com